PELAJAR MOBILITI UUM COB BANTU DALAM MEMPROMOSIKAN UUM
Pelajar mobiliti inbound antarabangsa di bawah Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM COB telah memberikan sumbangan dalam mempromosikan UUM kepada pelajar sekolah. Program yang diadakan melibatkan pengenalan kepada Bahasa Korea dan Bahasa Jepun yang dikendalikan oleh Lee Yong Suk (Sejong University, Korea) dan Arisa Tsuda, Satsuki Nakano dan Sakie Hoshi daripada Tsukuba University, Jepun. Program ini melibatkan seramai 56 orang pelajar tingkatan empat daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok telah memberikan ruang kepada pelajar sekolah berkenaan untuk mempelajari bahasa tersebut. Menurut Lee Yong Suk beliau berasa amat gembira kerana diberikan peluang untuk ke sekolah tersebut melalui program ini dan pengalaman dalam mengendalikan kursus bahasa ini amat bermakna kepada beliau. Beliau amat gembira kerana pelajar sekolah berkenaan telah memberikan komitmen dan kerjasama. Menurut pengetua sekolah, program ini juga turut membantu meningkatkan motivasi dikalangan pelajar terutamanya dalam menarik minat pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam akademik mereka.
Selain daripada program bahasa, pelajar mobiliti juga turut membawa peserta kursus ini ke UUM. Destinasi utama adalah ke Anjung Tamu UUM di mana pelbagai maklumat dan bahan berkaitan UUM disediakan di sana. Pelajar mobiliti dan sekolah yang terlibat amat tertarik dengan kemudahan yang disediakan di Anjung Tamu tersebut. Taklimat berkaitan program Asasi Pengurusan UUM yang disampaikan oleh Prof. Madya Md. Zahir Mat Cha turut dimasukkan di dalam program ini bertempat di Bilik Taklimat Universiti. Ini telah memberikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkaitan dengan program yang ditawarkan di UUM. Menurut Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, UUM COB, Dr. Mohammad Farizal Rajemi program ini bertujuan memberikan kesempatan kepada pelajar mobiliti untuk melihat dan mendekati masyarakat sekitar UUM disamping membantu mempromosi program UUM kepada pihak luar. Program seperti ini akan diteruskan agar manfaat dapat dinikmati bukan sahaja di UUM sebaliknya turut sama dinikmati oleh masyarakat setempat. Turut serta dalam program ini adalah pelajar UUM yang telah mengikuti mobilti keluar Negara terdiri daripada Saiful Izzaudin B Mohamad Yusoff (ke Sejong University, Korea), Ana Melissa Bt Martono (ke Yokohama National University, Jepun) pelajar mobiliti inbound daripada Chulalongkorn University, Thailand iaitu Phattraraprapa Jirakornkraisang dan Amolgaant Sookprasert dan Ramzy Haidar (Universitas Indonesia).