English Arabic Chinese (Simplified) Hindi Malay Thai
A- A A+

Educating tomorrow's business leaders today | FAQs | Support | W3C | Site Map 

SKPSA KETENGAHKAN ISU DAN CABARAN DALAM TADBIR URUS SEKTOR AWAM

on . Posted in News and Bulletin

SKPSAMengetengahkan isu dan cabaran dalam tadbir urus sektor awam, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) menganjurkan Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2017 di Acapella Suite Hotel, Shah Alam.

Seminar selama tiga hari bermula semalam itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Audit Negara, Khalid Khan Abdullah Khan yang mewakili Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, malam tadi.

Dalam ucapan beliau berkata, tema 'Pengurusan Ekonomi Berhemat Ke Arah Mempertingkatkan Prestasi Kewangan dan Penyampaian Perkhidmatan' adalah bertepatan dalam usaha kerajaan memantapkan pentadbiran termasuk hal berkaitan kewangan bagi membentuk dan menambahbaik sistem sedia ada.

Ujarnya, sebagai sebuah negara sedang membangun, peranan kerajaan dan warga kerja sektor awam adalah penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

"Seminar ini juga bertepatan dengan visi YAB Perdana Menteri untuk menjayakan konsep mendahulukan kepentingan rakyat dan meletakkan kepentingan awam di tahap tertinggi dalam pelaksanaan sistem pentadbiran.

"Menerusi program ilmiah anjuran TISSA-UUM ini, organisasi luar boleh mengambil peluang menyertainya bagi membangunkan kemahiran, ilmu dan etika kerja yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hassan Ali yang membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata, tema SKPSA 2017 adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memantapkan jentera pentadbiran sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurutnya, ia bertujuan menangani masalah ketidaktentuan ekonomi global dan juga usaha membentuk dan menambahbaik sistem penyampaian sektor awam.

"Saya berharap isu-isu yang diketengahkan dalam seminar ini adalah relevan dengan bidang dan fungsi tugas peserta, apatah lagi negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk membaiki imej perkhidmatan awam terhadap rakyat.

"Justeru, organisasi sektor awam termasuk penjawat awamnya peru membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan memperhalusi semula peranan dan tanggungjawab mereka bersesuaian dengan peredaran masa serta tuntutan persekitaran," katanya.

SKPSA anjuran kali ke-6 yang disertai 111 peserta terdiri daripada pegawai kewangan, pegawai tadbir, akauntan dan juruaudit yang mewakili organisasi masing-masing dari seluruh negara bertujuan berkongsi maklumat, idea dan pengetahuan tentang isu semasa meliputi perakaunan, pengauditan dan integriti dalam tadbir urus organisasi menerusi pembentangan oleh pakar dalam bidang masing-masing.

Sumber : UUM Online