English Arabic Chinese (Simplified) Hindi Malay Thai
A- A A+

Educating tomorrow's business leaders today | FAQs | Support | W3C | Site Map 

Kemeriahan UUM AACSB Day Suntik Kesedaran AACSB

on . Posted in News and Bulletin

aacb dayUUM AACSB Day berjaya menyuntik kesedaran staf UUM terhadap kepentingan The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) yang berlangsung di Foyer Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), semalam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim menyifatkannya sebagai kempen kesedaran untuk staf UUM di bawah skop AACSB di samping memberi penghargaan kepada staf yang memberi kerjasama padu sepanjang tempoh mendapatkan akreditasi AACSB pada 2016.

"Alhamdulillah, genap dua tahun UUM diiktiraf oleh AACSB sebagai Accredited Member maka AACSB International telah memperakui UUM sebagai institusi yang berkualiti dalam menyampaikan Pendidikan Perniagaan.

"Pengiktirafan ini bukan bermakna tugas kita sudah selesai sebaliknya kita harus mempergiatkan lagi inisiatif ke arah meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Business Education," ucapnya sejurus sebelum merasmikan majlis anjuran Unit Akreditasi AACSB, UUM COB.

Beliau optimis setelah mendapat akreditasi ini, budaya kualiti yang diterapkan dalam 15 standard AACSB telah menjadi sebahagian daripada amalan di semua pusat pengajian yang terlibat.

"Saya yakin pensyarah telah berusaha meningkatkan kualiti penerbitan dengan menerbitkan artikel dalam jurnal yang berkualiti justeru Unit Akreditasi AACSB menerbitkan Journal Quality List sebagai panduan dalam menentukan jurnal sasaran yang dapat dicapai melalui portal.

"Antara yang ditekankan AACSB, pelajar kita dilibatkan dengan industri jadi kita akan membentuk Lembaga Penasihat Industri dan Profesional Kolej Perniagaan dalam menasihati Pusat Pengajian.

"Dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, kita sedang dalam proses mewujudkan sistem sokongan bagi pelajar yang bermasalah dalam sesuatu kursus," tambahnya.

Untuk itu katanya, kursus yang mempunyai tahap kegagalan yang tinggi telah dikenalpasti seterusnya Pusat Pengajian perlu menyediakan jadual bagi membolehkan pelajar mendapat bantuan misalnya kelas tambahan.

"Pelbagai aktiviti dijalankan melibatkan engagement dan innovation yang memberi impak contohnya 2U2I, service learning di setiap Pusat Pengajian, penubuhan Beta Gamma Sigma Chapter UUM bagi pelajar cemerlang dan kejayaan pelajar Enactus mencipta arang daripada tempurung, di bawah projek "Co&Coal".

"Dari segi impak pula, projek "Co&Coal" menjana pendapatan kepada penduduk kampung yang mengusahakan projek arang sekali gus mengurangkan pergantungan kayu bakau malah projek ini bakal dipaparkan oleh pihak AACSB dalam BizEd, sebuah majalah keluaran AACSB," ucapnya.

Sementara itu, Pengarah Unit Akreditasi AACSB, Prof. Dr. Ku Nor Izah Ku Ismail, berkata, Unit Akreditasi AACSB komited menjalankan peranan yang membuka pelbagai peluang dalam meningkatkan status UUM dengan cemerlang.

"Syabas saya ucapkan apa yang kita kecapi hari ini bermula daripada sokongan dan budi bakti warga UUM untuk maju ke hadapan dalam merealisasikan matlamat universiti.

"Setelah dua tahun UUM mendapat akreditasi AACSB, kini kita berada dalam dalam fasa First Continuous Improvement Review, atau ringkasnya CIR, dalam fasa ini, berbagai usaha dijalankan oleh Pusat Pengajian dan Unit Akreditasi AACSB.

Beliau juga menyeru pensyarah sentiasa mengemaskini maklumat dalam Sistem SEDONA yang penting untuk pihaknya menjana laporan berkaitan dengan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan di samping mendaftar sebagai ahli individu AACSB International dengan melayari website AACSB.

Manakala Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyifatkan program AACSB memberi impak positif kepada warga UUM dan pihaknya sentiasa menyambut baik program tersebut.

"Kita banyak belajar daripada mantan Pengarah Unit Akreditasi AACSB UUM COB, Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin untuk melangkah lebih jauh dan terus memastikan UUM COB terus mengekalkan AACSB dengan memberi fokus kepada aspek engagement, innovation dan impact.

"Kita berharap para pelajar apabila menamatkan pengajian seterusnya memasuki industri mereka telah terbina dengan kecemerlangan yang dilengkapi kecekapan dan karakter," ucapnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik seperti beriadah sambil membersihkan kawasan (plogging), Zumba "Let's Get Fit", pertandingan Instagram #UUMAACSBDAY, pendaftaran AACSB Membership Drive, Kuiz AACSB, cabutan bertuah dan pertandingan mewarna di kalangan murid UUM International School (UUMIS).

Turut bersama dalam program ini adalah dekan-dekan Pusat Pengajian UUM COB, Dekan Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM COB dan wakil-wakil Pusat Pengajian.

Sumber: UUM Online