English Arabic Chinese (Simplified) Hindi Malay Thai
A- A A+

Educating tomorrow's business leaders today | FAQs | Support | W3C | Site Map 

SEFB International Summer School 2019 Tingkat Kemahiran Bahasa Inggeris Pelajar PSU, Thailand

on . Posted in News and Bulletin

psuMasalah bahasa tidak menjadi halangan kepada 59 pelajar Prince of Songkla University (PSU), Thailand untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan menyertai SEFB International Summer School Program 2019 yang dijalankan selama sebulan di UUM.

Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, program itu bertujuan untuk membantu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan peserta terdiri pelajar PSU dengan mengikuti kelas Bahasa Inggeris yang dikendalikan guru Bahasa Inggeris bertauliah daripada Pusat Bahasa, UUM.

Menurutnya, sepanjang sebulan di UUM, peserta telah mengikuti kelas Bahasa Inggeris, di samping mengikuti kelas di bawah SEFB seperti ekonomi, kewangan dan perbankan, pengurusan risiko dan insurans yang mana kelas tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh pensyarah SEFB sendiri.

Katanya, selain menyertai aktiviti dalam kelas, mereka juga mengikuti program di luar kampus seperti lawatan ke kilang perindustrian di Jitra dan Pulau Pinang serta menyertai aktiviti riadah meninjau keindahan hutan Sintok.

"Saya berharap semua pelajar 'enjoy' dengan aktiviti yang dijalankan selama sebulan di universiti ini dan mendapat manfaat serta pengalaman baharu yang boleh diguna pakai ketika pulang ke kampus asal.

"Saya juga berharap pelajar akan menjadi lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Inggeris walaupun tempoh sebulan tidak mencukupi untuk menguasai bahasa kedua ini," katanya pada Majlis Perasmian Penutup SEFB International Summer School Program 2019 di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen, semalam.

Beliau berkata, menerusi program itu, pelajar juga dapat memupuk kerjasama berpasukan dan menimba pengalaman baharu yang diharap dapat membantu menyumbang pada masa hadapan mereka.

Menurutnya, dengan berakhirnya program yang bermula sejak Jun itu akan menarik minat pelajar PSU untuk melanjutkan pengajian mereka di UUM selepas mengikuti sesi bersama pensyarah UUM dari pelbagai bidang pengajian.

"Saya juga berharap kolaborasi antara UUM dan PSU akan berterusan bukan sahaja bagi program mobiliti pelajar, malah pertukaran staf dan kerjasama dalam bidang lain seperti penyelidikan dan penerbitan," katanya.

Sementara itu, Penolong Presiden Hal Ehwal Akademik, PSU, Dr. Parichart Maneemai berkata, beliau berterima kasih kepada UUM dan SEFB kerana mengalukan kedatangan pelajar PSU dan memberikan tunjuk ajar kepada mereka dalam memantapkan Bahasa Inggeris.

Menurutnya, semua staf dan pelajar UUM telah menjalankan satu tanggungjawab yang baik dan telah banyak membantu peserta sepanjang proses pembelajaran tersebut.

Katanya, beliau berharap pelajar PSU telah menimba banyak ilmu dan pengalaman berharga sepanjang berada di UUM, seterusnya memanfaatkan peluang tersebut untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan baharu dalam bahasa yang baru dipelajari itu.

"Summer School ini hanya satu permulaan dan saya berharap pelajar akan terus belajar dan berlatih sebaiknya untuk menguasai dan meningkatkan kebolehan dalam Bahasa Inggeris.

"Cari jalan untuk belajar dalam suasana yang gembira dan tidak membosankan agar sesi pembelajaran menjadi lebih menarik," katanya.

Sumber: UUM Online