English Arabic Chinese (Simplified) Hindi Malay Thai
A- A A+

Educating tomorrow's business leaders today | FAQs | Support | W3C | Site Map 

SKPSA2019 Wadah Pentadbir Awam Bawa Tadbir Urus Awam Lebih Telus Dan Berkesan

on . Posted in News and Bulletin

skpsaJohor - "Sebagai pentadbir awam, adakah kita telah menjalankan peranan dengan sempurna dalam meningkatkan integriti dan akauntabiliti di sektor awam?," kata Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Ir. Amiruddin Hamzah.

Menurut beliau, pentadbir awam harus melihat kembali dan berfikir sejauh mana mereka melaksanakan amanah itu agar setanding dengan jangkaan dan harapan rakyat terhadap cara menguruskan wang awam.

Justeru, katanya, Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam 2019 (SKPSA2019) telah menyediakan wadah bagi pentadbir awam yang dipertanggungjawabkan dengan tadbir urus organisasi berkolaborasi bersama pihak akademia untuk membawa tadbir urus awam yang telus dan berkesan bagi meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian awam kepada semua pihak.

"Negara mempunyai sistem kewangan dan governan yang baik tetapi ia mampu lumpuh hanya disebabkan nakhodanya. Oleh itu, sebagai kerajaan yang mengutamakan prinsip integriti telah perkenalkan konsep CAT iaitu Competency (kompetensi), Accountability (akauntabiliti) dan Transparency (telus).

"Konsep tersebut akan digunakan dalam menggubal dasar dan sistem penyampaian kerajaan, malah berteraskan konsep ini juga, antara perkara awal yang dilakukan kerajaan dalam mereformasikan kedudukan fiskal negara bagi memastikan perbelanjaan yang optimum terutamanya dalam projek-projek infrastruktur ialah rundingan semula projek mega seperti ECRL," katanya pada Majlis Perasmian SKPSA2019 di Hotel The Puteri Pacific, Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata, berpegang pada prinsip CAT dan komited untuk melaksanakan perakaunan akruan menjelang 2021, laporan dibuat akan lebih telus ke atas sejumlah hutang dan liabiliti serta nilai aset kerajaan.

Menurutnya, dengan langkah itu dijangka mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan negara, di samping meletakkan pengurusan kewangan Malaysia setaraf negara maju lain.

"Kolaborasi dengan institusi akademik juga memainkan peranan penting untuk menerap budaya integriti dan ketelusan yang bermula dari akar umbi.

"Bertepatan dengan tema 'Cabaran Tadbir Urus Sektor Awam – Mengubah Budaya Komuniti, Menolak Rasuah, Meningkatkan Akauntabiliti Awam' sewajarnya merangsang minda peserta yang merupakan pentadbir awam melihat kembali dan fikir sama ada telah jalankan peranan dengan sempurna dalam meningkatkan integriti dan akauntabiliti di sektor awam," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, tema yang diangkat pada SKPSA2019 kali ini bertepatan dengan usaha pihak kerajaan dalam memantapkan jentera pentadbiran sehingga ke peringkat akar umbi bagi menangani masalah rasuah, di samping membentuk dan menambah baik sistem penyampaian sektor awam agar dapat memenuhi kehendak dan jangkaan rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa Malaysia dan rakyat negara ini hanya boleh menganggap diri mereka maju apabila mereka menolak rasuah dan menghentikan amalan itu.

"Menurut beliau lagi, Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada isu rasuah jika mereka mahu berada dalam ranking negara maju dan muncul semula sebagai 'Harimau Asia'.

"Justeru, pentadbir kerajaan perlu berikrar untuk tidak terlibat dengan rasuah sekiranya mereka sayangkan negara dan mahu negara dihormati oleh masyarakat dunia," katanya.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir berharap peluang mencerap ilmu, bertukar pendapat dan pengalaman antara satu sama lain di seminar selama dua hari itu membawa manfaat yang banyak kepada peserta.

SKPSA2019 yang disertai lebih 150 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi seluruh Malaysia itu merupakan anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor Darul Takzim.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato' Ramlee A. Rahman yang mewakili Setiausaha Kerajaan Johor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato' Dr. Badrul Hisham Kassim.

Sumber: UUM Online